suria

Polis P.Pinang Tumpaskan Sindiket Palsu Lesen Pemberi Pinjam Wang

BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang Sabtu lepas berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan lesen pemberi pinjam wang yang bergiat aktif di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Superitendan Roslee Chik berkata, dua lelaki berusia antara 40 dan 50 tahun yang merupakan anggota sindiket itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di sini.

Katanya, sepasukan anggota polis yang diketuai Insp N.Muniandy menyerbu premis perniagaan berkenaan bermula pukul 2 petang selepas mendapat maklumat awam dan risikan sejak tiga bulan lepas.

"Siasatan awal mendapati ketua sindiket pemalsuan lesen memberi pinjam wang itu mengenakan caj sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 bagi tempoh dua tahun untuk setiap lesen itu.

"Anggota sindiket itu yang juga ah long hanya perlu membayar RM600 bagi memperbaharui lesen berkenaan dan setakat ini kita telah kenalpasti lapan premis perniagaan menggunakan lesen palsu itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah SPT, di sini Isnin.

"Hasil penahan dan serbuan itu, kita percaya berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan lesen pemberi pinjaman wang yang beroperasi sejak 2007 itu dan ia merupakan kejayaan pertama bahagian jenayah komersial Pulau Pinang," katanya.

Katanya, sindiket itu turut memperdaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendapatkan lesen premis untuk berniaga dengan hanya mengemukakan lesen pemberi pinjaman wang palsu itu.

Beliau berkata, polis juga merampas satu set komputer bersama dua mesin pencetak, enam lesen pemberi pinjam wang palsu dan beberapa dokumen berkaitan pemberi dan peminjam wang dalam serbuan itu.

"Polis meminta mereka yang membeli lesen berkenaan supaya tampil membuat laporan polis bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

"Polis juga akan memaklumkan kepada PBT supaya membatalkan lesen premis terlibat serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka," katanya.

Setakat ini lapan premis dikenalpasti menggunakan lesen paslu berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain