suria

PR Mahu Wujud Hak Sama Rata Di Kalangan Rakyat - LGE

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng berkata tidak timbul soal 'siapa peralatkan siapa' dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana yang lebih penting ialah mereka bersedia 'diperalatkan' oleh rakyat jelata.

"Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kata DAP diperalatkan PAS, tapi kalau tengok dari pandangan Umno pula mereka kata PAS diperalatkan DAP.

"Percanggahan begini digunakan oleh BN. Antara Parti Keadilan rakyat (PKR), DAP dan PAS tidak saling'memperalatkan'. Kami hanya digunakan oleh rakyat jelata," katanya ketika menyampaikan hujah debat dengan Dr Chua yang diadakan di Berjaya Times Square, dekat sini, Sabtu.

Ketua Menteri Pulau Pinang ini berkata, jika rakyat mahukan sebuah negara berpendapatan tinggi, mereka harus berani menerima pelaksanaan sistem dua parti.

"Ianya satu jalan yang sukar, tapi kita bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS untuk dasar-dasar kita," katanya.

Menurut Lim sistem dua parti memperlihatkan setiap rakyat Malaysia sebagai satu keluarga dan mempunyai hak yang sama rata.

Katanya, sistem ini merupakan sistem mentaliti dua idea tetapi secara prinsipnya setiap rakyat adalah sama.

"Dalam BN, Umno jaga orang Melayu, MCA jaga orang Cina dan MIC jaga orang India.

"PAS ada ideologi, DAP ada ideologi, tapi PAS tak pernah 'bunuh' seorang pun orang Cina, inilah hakikat yang Dr Chua kena terima," katanya.

Beliau turut menyentuh tentang hasrat pakatan pembangkang mewujudkan satu kerajaan yang bersih, adil, telus serta bebas perkauman.

Katanya, tanpa sifat perkauman penyelewengan wang dan rasuah dapat ditumpaskan.

"Paling penting cari penyelewengan. Penyelewengan tak kira siapa, bukan salahkan mereka yang tak bersalah.

"Kita rakyat semua sama, inilah yang dikhuatiri MCA," katanya.

Dr Chua dan Lim bertemu dalam debat dengan topik “Adakah sistem dua parti akan menjadi sistem dua kaum” bermula pada pukul 5 petang, Sabtu.

Debat itu merupakan kemuncak kepada forum mengenai masa depan politik masyarakat Cina Malaysia menjelang pilihan raya umum akan datang yang dianjurkan bersama oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) bersama Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap).

Artikel Sebelum

Wanita Ditemui Lemas Di Lombong

Artikel Lain