suria

Judi Berkomputer Beroperasi Secara Sindiket Di P. Pinang

GEORGE TOWN: Polis percaya kegiatan perjudian haram berkomputer di negeri ini beroperasi secara sindiket dan mempunyai rangkaian puluhan premis di seluruh negeri.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob berkata siasatan polis mendapati sindiket perjudian ini memiliki 10 hingga 20 premis judi yang beroperasi 24 jam dan berselindung di sebalik perniagaan kafe siber.

"Pengusaha judi haram berkomputer itu mempunyai hubungan antara satu sama lain dan berani untuk beroperasi walaupun telah diserbu beberapa kali oleh pasukan penguatkuasa," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ayub berkata sindiket itu mengaut keuntungan jutaan ringgit sebulan, dengan sebuah mesin komputer itu dipercayai membawa keuntungan RM500 sehari.

"Hasil risikan polis mendapati purata perbelanjaan pemain judi ialah RM50 seorang bagi satu mesin komputer dan sebuah mesin boleh digunakan oleh 10 orang pemain," katanya.

Ayub berkata dari 1 Jan sehingga Selasa lepas, polis merampas 1,416 mesin judi bernilai RM2.5 juta serta wang pertaruhan sebanyak RM9,998 dalam 127 serbuan di seluruh negeri.

Polis turut menahan 129 penjaga premis-premis pusat perjudian haram dan menahan 119 pemain judi.

"Kita akan menggunakan pendekatan baru terhadap pemain judi terbabit iaitu memberi kaunseling kepada mereka ketika ditahan," katanya.

Ayub berkata polis akan membuat pemeriksaan di semua kafe siber yang beroperasi dalam keadaan yang mencurigakan.

"Polis telah mengambil langkah agresif dengan melakukan serbuan setiap hari hasil risikan dan maklumat orang awam," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain