suria

Polis Rampas Syabu, Heroin Seberat 1.8 Kg, Dua Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 1.8 kg dadah jenis syabu dan heroin dalam serbuan berasingan di Pudu dan Ampang, 26 Jan dan Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata dalam tangkapan pertama, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun di tepi jalan berdekatan sebuah hotel di Ampang pukul 10.30 malam.

"Polis merampas tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat 1,520 gram daripada lelaki itu," katanya dalam laman sosial Facebook PDRM pada Jumaat.

Kang berkata saringan awal urin suspek mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan dia ditahan reman tujuh hari bermula 27 Jan.

Sementara itu, dalam tangkapan kedua, polis merampas 150 paket dadah jenis heroin seberat 313 gram daripada seorang lelaki di sebuah hotel di Pudu, Rabu lepas.

"Lelaki tempatan berumur 22 tahun itu ditahan polis narkotik daerah Dang Wangi di hadapan lif hotel tersebut kira-kira 6.50 pagi.

"Saringan awal urin suspek mendapati lelaki itu positif methamphetamine. Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan sehingga 7 Feb depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan, katanya.

"Kejayaan ini adalah hasil maklumat orang awam. Pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian mereka yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ini dan punca bekalan dadah yang diperolehi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain