suria

Kenyataan Anwar Menyokong Israel Amat Memalukan - Mustapa

JELI: Kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong usaha menjaga keselamatan Israel, adalah amat dikesali dan memalukan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam amat bersimpati dengan rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Zionis dan dasar luar Malaysia adalah jelas iaitu menentang kekejaman dan kekerasan.

"Jadi kita harap rakyat Malaysia membuat penilaian tentang politik pemimpin ini yang sanggup berbuat apa sahaja untuk meraih sokongan pihak tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar memperkasakan kepimpinan Anggota Jawatankuasa Rukun Tetangga Parlimen Jeli di sini, Rabu.

Anwar dilaporkan menyatakan sokongan terhadap usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan Israel ketika beliau ditemubual oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

"Kita mengakui perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan yang benar dan betul, kita tahu mereka ditindas dan dizalimi oleh Israel," kata Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli.

Beliau berkata dasar luar negara ini sudah terbukti membawa banyak faedah kepada negara, bagaimanapun dasar tersebut akan berubah sekiranya pembangkang memerintah.

Mengenai laporan akhbar hari ini bahawa orang Melayu paling ramai dikesan tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka layak berbuat demikian, Mustapa berkata rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun perlu segera mendaftar sebagai pengundi kerana negara demokrasi mengkehendaki semua rakyatnya yang layak mengundi.

Mengenai lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri ini, esok, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata lawatan Muhyiddin itu akan menyuntik semangat kepada jentera Barisan Nasional (BN) negeri untuk bekerja keras menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Muhyiddin dijadual mengadakan perjumpaan dengan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Kelantan dan BN Kelantan di Bangunan Umno Negeri di sini, pada pukul 9 pagi dan kemudiannya merasmikan Majlis Pemantapan Profesion Perguruan di Pejabat Yayasan Kemiskinan Kelantan di Ketereh dekat sini dan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di Kuala Krai pada pukul 3.50 petang.

Sementara itu, Mustapa ketika berucap pada majlis tersebut berkata anggota Rukun Tetangga berjaya membantu polis mengurangkan kejadian jenayah di kawasan masing-masing, di samping dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain