suria

Polis Terima 14 Laporan Kecurian Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menerima 14 laporan berhubung kes kecurian di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sejak bumbung stadium itu runtuh pada tahun 2008 sehingga 11 Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata setakat ini polis telah menahan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes mencuri kabel, pecah stor, memiliki barang curi dan menceroboh kawasan stadium itu.

"Mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 40 tahun dan kesemua mereka telah dituduh di mahkamah," katanya ketika ditemui, Selasa.

Manoharan berkata pihaknya masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kes pencerobohan dan kecurian di stadium terbabit.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM292 juta itu mula dibina pada Mei 2006 dan siap pada 2008 bagi digunakan sebagai venue Sukan Malaysia.

Bagaimanapun sebahagian sruktur utama bumbung stadium itu runtuh setahun selepas dibuka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain