suria

Polis Masih Jejaki Lelaki Lepaskan Tembakan Terhadap Remaja

KOTA BHARU: Polis masih menjejaki seorang lelaki yang disyaki melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang remaja lelaki di Kampung Kuchelong, Bachok, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superitendan Abdul Rahim Che Ghani berkata, suspek berumur 23 tahun itu tinggal di kampung sama, melarikan diri selepas kejadian tersebut.

Suspek dipercayai menggunakan sepucuk revolver, melepaskan dua das tembakan hingga menyebabkan kecederaan di kaki kanan Nik Mohamed Baihaki Nik Mahmud, 17, katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Abdul Rahim berkata, mangsa yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa dikatakan ditembak dua das dengan satu daripada tembakan itu mengenai kaki kanannya, gara-gara perselisihan faham dengan suspek yang merupakan rakan sekampungnya. - BERNAMA

Artikel Lain