suria

Polis Tahan 26 Orang Dalam Serbuan Kali Kedua Di 'Kasino Mini' Mount Erskine

GEORGE TOWN: Polis menahan 26 orang termasuk seorang wanita yang sedang asyik berjudi dalam serbuan kali kedua dalam tempoh dua hari di sebuah premis yang dijadikan 'kasino mini' di Mount Erskine di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam, sepasukan polis dari Cawangan Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut melancarkan Ops Dadu dan menyerbu premis berkenaan buat kali kedua pada pukul 6 petang Jumaat.

"Semalam kita telah menyerbu tempat yang sama dan menahan enam orang serta merampas segala peralatan yang digunakan. Bagaimanapun kaki judi berkenaan tidak serik dan tetap berdegil menjalankan kegiatan haram berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mereka yang berumur lingkungan 30 hingga 55 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.

Beliau berkata polis turut merampas wang di meja judi sebanyak RM150,000 dan pelbagai peralatan judi jenis 'york', daun terup, cop dan dadu dan hasil siasatan mendapati mereka yang terbabit membuat pertaruhan antara RM10 sehingga RM150,000 bergantung kepada jenis permainan judi. - BERNAMA

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain