suria

Jingga 13 Cabar NFC Dedah Penyata Kad Kredit

KUALA LUMPUR: Aktivis yang dikenali sebagai Jingga 13 pada Selasa membuat laporan polis berhubung dakwaan penggunaan wang sebanyak RM600,000 daripada dana Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bagi membayar penggunaan kad kredit ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa turut mencabar semua pemegang kad kredit mendedahkan butiran penyata kepada umum.

"Kami ingin pengesahan sama ada Pengarah Eksekutif NFC, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh menggunakan dana tersebut untuk menguruskan lembu dan bukannya kepentingan peribadi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Jingga 13 merupakan sebuah unit anti rasuah yang beroperasi di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu Fariz berkata, buku bank NFC pada 2009 menunjukkan pembayaran dibuat kepada empat kad kredit yang dikeluarkan oleh dua bank utama.

Sebelum ini PKR mendakwa pengurusan tertinggi NFC menggunakan dana syarikat bagi membayar bil kad kredit bernilai RM593,500 pada 2009 yang tidak dinyatakan bagi tujuan apa.

Bagaimanapun Wan Shahinur Izmir menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa perbelanjaan menggunakan kad kredit itu adalah atas urusan rasmi syarikat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain