suria

Anak Perempuan Timbalan Ketua Umno Sandakan Cedera Dalam Rompakan

KOTA KINABALU: Anak perempuan Timbalan Ketua Umno bahagian Sandakan cedera setelah butik miliknya yang terletak di Taman Kingfisher dekat sini dirompak, pada Selasa.

Ketua Polis Bandar Raya ACP Ahmad Sofi Zakaria berkata Norezai Awang Sham, 36, anak perempuan Datuk Awang Sham Amit, bergelut dengan dua lelaki bersenjatakan parang dalam insiden pada 12.30 tengah hari itu dan mengalami kecederaan pada kedua-dua lengan serta tangannya.

Beliau berkata mangsa berada bersama salah seorang pekerjanya apabila dua lelaki terbabit memasuki kedai berkenaan.

"Dia kehilangan beg tangan yang mengandungi wang tunai RM2,500, sebuah telefon bimbit dan dokumen peribadi selain barang kemas," katanya.

Ahmad Sofi berkata kedai Norezai turut dirompak dan kunci keretanya dirampas sebelum dia serta pekerjanya dikunci dalam kedai itu.

Beliau berkata suspek kemudian melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi milik mangsa, manakala mangsa pula terpaksa memecahkan pintu kaca kedai untuk melarikan diri dan mendapatkan pertolongan.

Ahmad Sofi berkata Norezai dibawa ke Hospital Likas untuk rawatan dan keadaannya kini stabil.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain