suria

Benarkah Anwar Tidak Boleh Dipercayai?

PETALING JAYA: Benarkah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya dianggap sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai?

Kenyataan itu dipetik dalam akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkannya sebagai berita muka depan pada Isnin yang melaporkan bahawa label itu diberikan oleh majalah antarabangsa, The Economist.

Akhbar itu menyatakan label itu bukan datangnya daripada pemimpin UMNO mahu pun Barisan Nasional (BN) yang selama ini sering dituduh sebagai pihak yang berkonspirasi ke atas pertuduhan liwat tersebut.

Menurut akhbar itu lagi yang memetik dalam laman web The Economist, http://www.economist.com pada Ahad menyatakan bahawa walaupun Anwar seorang pemimpin yang berkarisma dan memiliki kehebatan sebagai pemidato, tetapi imej serta reputasinya sebagai ketua pembangkang tercemar khususnya dalam kalangan generasi muda di negara ini.

"Bagaimana keputusan (mahkamah) itu akan memberi kesan kepada politik Malaysia? Dalam jangka pendek, kemenangan (pembebasan) Anwar sudah tentu memberi rangsangan sangat diperlukan kepada pakatan pembangkang yang diketuainya.

"Namun, untuk jangka masa panjang belum jelas. Reputasinya tercemar dan beliau seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai khususnya bagi generasi muda Malaysia," kata majalah tersebut.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar selepas Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari Azlan selain tidak selamat untuk bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurut laporan akhbar itu lagi, The Economist turut mendakwa ketua pembangkang itu juga gagal membawa pemodenan dalam politik apabila PKR yang diterajuinya dipenuhi ahli keluarga sendiri selain pelbagai masalah dalaman meskipun beliau sering kali melaungkan reformasi.

"Pembangkang di Malaysia kini terperangkap dengan (moral) Anwar sebagai pemimpin (selepas dibebaskan mahkamah). Anwar mungkin masih popular bagi sesetengah pihak, tetapi dia juga kini terlalu lemah untuk menumbangkan BN," dakwa majalah itu lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain