suria

BN Sediakan Agenda Masa Depan Menyeluruh Untuk Rakyat Kelantan

KOTA BAHARU: Barisan Nasional (BN) menyediakan agenda untuk masa depan yang menyeluruh bagi memajukan segenap lapisan masyarakat di Kelantan yang berhadapan dengan pelbagai masalah sepanjang lebih 20 tahun di bawah pemerintahan kerajaan PAS.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata menjadi keutamaan Umno dan BN untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa tanpa dihimpit dengan pelbagai masalah yang disebabkan kelemahan kerajaan PAS mentadbir negeri.

"Yang penting bagi kami ialah kita BN menyediakan satu agenda untuk masa depan antaranya agenda untuk menyatupadukan rakyat Kelantan, agenda untuk menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi, agenda untuk membangunkan umat Islam dan agenda untuk anak muda," katanya kepada Bernama selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin 52 badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan di sini, malam Sabtu.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata penyediaan agenda itu setelah mengambil kira pandangan dan rintihan daripada pelbagai golongan rakyat termasuk golongan muda yang tidak mempunyai hala tuju dengan ramai di kalangan mereka tidak mempunyai pekerjaan.

"Kita bersyukur kerana kebanyakan NGO ini memahami perjuangan kita. Saya cukup bangga kerana mereka telah menyuarakan beberapa pandangan termasuk kita berdamping dengan pekerja, belia dan golongan agama untuk mantapkan lagi parti bagi merampas kembali Kelantan daripada PAS.

"Harapan mereka kepada kerajaan PAS adalah tinggi, banyak perkara yang mereka mahu kerajaan negeri laksanakan tetapi jelas mereka tidak berpuashati kerana kerajaan negeri gagal memenuhi kehendak mereka maka sekarang ini mereka mengharapkan kepada Umno," katanya.

Mustapa berkata pembangkang cuba menyempit dan mengelirukan pandangan rakyat dengan menyebarkan dakyah bahawa perjuangan Umno bukan untuk memartabatkan Islam.

"Perjuangan kita seimbang, kita dukacita dengan pihak yang menyempitkan pandangan rakyat ini, sebenarnya Umno bawa perjuangan Islam lebih baik daripada PAS, dan terbukti membawa faedah kepada umat Islam di Malaysia," katanya.

Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terus terpengaruh dengan anggapan "PAS itu Islam, kalau tidak mengundi PAS tidak Islam". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain