suria

Empat Maut Dalam Tiga Nahas Di Pahang

KUANTAN: Empat maut dalam tiga kemalangan jalan raya di Pahang, Khamis.

Dalam kejadian di Kuantan, dua sahabat maut manakala seorang patah tangan apabila Proton Satria yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah jip di Km15 Jalan Kuantan-Kemaman.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan kereta terbabit, Helmi Rafsanjanji Razak, 21, dari Taman Balok Jaya di sini dan penumpang belakang, Suhaimi Ismail, 18, berasal dari Rantau Panjang, Kelantan. Sementara pemandu kereta itu yang berusia 27 tahun cedera serta patah tangan kirinya dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata ketika kejadian pada pukul 2.19 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari Kemaman menuju ke Kuantan.

"Pemandu kereta itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan jip itu. Helmi mati di tempat kejadian manakala Suhaimi meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan HTAA kira-kira pukul 4.40 pagi. Pemandu jip terbabit tidak cedera," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu di Bentong, seorang pejalan kaki dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenalpasti di Km18 Jalan Karak-Kuala Pilah pada pukul 3 pagi

"Identiti mangsa yang ketika itu berjalan bersendiri belum diketahui, mangsa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoShas) Temerloh dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.55 pagi ini," katanya.

Dalam kejadian lain, seorang kelindan lori terbunuh apabila lori yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas merempuh tembok batu sebelum terbalik ke dalam longkang di KM43.3 Lebuh raya Kuala Lumpur - Karak dekat Bukit Tinggi kira-kira pukul 10.45 pagi.

Mohamed Fauzi berkata lori muatan atap genting itu dalam perjalanan dari arah Beranang, Selangor menuju ke Kuala Lipis. - BERNAMA

Artikel Lain