suria

Pindaan Akta Pertahanan Awam 1951 Akan Dibentang Di Parlimen Tahun Ini

SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Pertahanan Awam 1951 bertujuan memantapkan lagi akta tersebut, kata Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Katanya ini supaya akta itu diperkemaskan lagi terutama dari segi tugas-tugas dan bidang kuasa menteri, ketua pengarah dan juga anggota pasukan pertahanan awam.

"Dulu memang ada, tapi sekarang ini kita hendak perkemas dan perjelaskan lagi. Mengikut perancangan pindaan akta ini akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 71 buah pelbagai kenderaan operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pemakaian pangkat pegawai JPAM di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah JPAM Datuk Sulaiman Keling.

Katanya pindaan akta ini bagaimanapun akan disemak terlebih dahulu oleh pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan ke Parlimen.

Abu Seman berkata tugas dan peranan JPAM kini semakin mencabar dalam memastikan keselamatan orang awam dan harta benda terus terpelihara dari sebarang bencana serta ancaman luar.

"Saya melihat setiap tahun pelbagai perubahan dan variasi yang diadaptasi dilakukan oleh jabatan ini untuk meningkatkan kecekapan dan memastikan mutu serta tahap anggota adalah relevan dengan keadaan semasa.

"JPAM kini mempunyai seramai 397,000 orang anggota yang berdaftar dan daripada jumlah itu seramai 190,000 anggota yang terlatih (aktif). Anggota yang terlatih ini boleh digerakkan dan bersedia dalam menangani krisis, kecemasan dan bencana negara.

"Dengan kekuatan anggota seramai ini, KDN akan melihat lagi keperluan logistik dan kelengkapan yang diperlukan agar JPAM bersedia dan lengkap dari semua segi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain