suria

Keputusan Kes Anwar Bukti Tiada Campur Tangan Kerajaan – Pemuda Umno

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno pada Isnin menyatakan bahawa keputusan kes liwat yang melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan pemulihan kewibawaan badan kehakiman negara dan menyangkal dakwaan bahawa ada campur tangan politik dalam kes-kes mahkamah.

Menurut blog Ketua Pemuda Umno yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, Pemuda Umno turut menolak hujah yang mengatakan kes Anwar merupakan satu konspirasi politik untuk menjatuhkan ketua pembangkang itu.

“Kes ini berpunca daripada laporan polis yang telah dibuat oleh (bekas pembantu peribadinya) Saiful Bukhari Azlan yang tidak ada kaitan dengan kerajaan atau parti pemerintah.

“Ia melibatkan dua individu dan dakwaan mengenai apa yang berlaku antara dua individu tersebut dan langsung tidak melibatkan kerajaan.

“Sudah pasti, sekiranya ada tuduhan yang serius melibatkan jenayah, proses keadilan perlu dijalankan. Dalam kes ini, Saiful dan Anwar diberi peluang yang adil di mahkamah dan proses keadilan dijalankan secara terbuka tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak,” katanya yang mewakili Pemuda Umno akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin yang membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful.

Khairy berkata, Pemuda Umno langsung tidak khuatir dengan keputusan mahkamah dalam kes ini kerana penerimaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang tidak ditentukan melalui kes Anwar.

“Ini merupakan kes peribadi beliau yang sudah sampai ke penghujungnya. Bagi kami, rakyat akan nilai kesungguhan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa transformasi politik dan ekonomi untuk melahirkan demokrasi yang lebih utuh dan negara yang lebih progresif dan maju,” katanya.

Beliau menambah, Pemuda Umno yakin program transformasi politik kerajaan yang telah membawa keterbukaan dan menjamin kebebasan serta hak asasi dengan proses pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), penghapusan pengisytiharan darurat, kebebasan politik yang diberi kepada mahasiswa dan pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan telah membawa sokongan padu daripada rakyat, terutama generasi muda terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Kejayaan transformasi ini akan menjadi penilaian rakyat pada pilihanraya akan datang, bukannya keputusan mahkamah dalam kes peribadi antara Anwar dan Saiful,” katanya lagi.

Artikel Lain