suria

Lima Lelaki Pecah Masuk Rumah Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah NS

SEREMBAN: Lima lelaki memecah masuk rumah pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Negeri Sembilan Datuk Goh Siow Huat, 63, di Taman South East Asia, Rahang di sini malam Khamis sebelum melarikan sepasang jam Rolex, barangan kemas, wang dan beberapa botol minuman keras yang dianggarkan bernilai RM100,000.

Goh, yang juga Ketua MCA Bahagian Rembau, berkata kelima-lima lelaki itu dipercayai masuk rumahnya melalui satu daripada pintu belakang yang tidak berkunci pada pada kira-kira pukul 8.15 malam.

"Saya sedang berehat di ruang tamu setelah makan malam bersama isteri saya Datin Cheng Kiow Hee serta tiga cucu, dua perempuan dan seorang lelaki berusia 6 hingga 11 tahun, apabila tiba-tiba lima lelaki bersenjata parang dan pisau menyerbu masuk.

"Kelima-lima lelaki itu memakai cap (topi) manakala muka mereka ditutup dengan kain. Mereka kemudian bertindak mengurung isteri dan cucu saya dalam sebuah bilik. Tiga daripada lelaki itu menyelongkar kesemua bilik bawah dan atas manakala dua lelaki itu mengugut saya supaya bekerjasama menunjukkan peti besi kerana jika tidak saya akan dicederakan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Bekas anggota Parlimen Rasah itu berkata suspek kemudiannya bertindak memecah peti besi di tingkat atas dan melarikan sepasang jam tangan Rolex, barang kemas dan wang.

"Suspek turut melarikan beberapa botol minuman keras di dalam almari pameran. Kerugian dianggarkan bernilai RM100,000. Kejadian ini kemudian saya laporkan kepada polis. Walaupun mengalami kerugian, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat," katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain