suria

TUDM Lakukan Penerbangan Ehsan Untuk Selamatkan Kaki Pesakit

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Khamis melakukan penerbangan ehsan bagi menyelamatkan seorang pesakit yang mengalami "acute limb ischaemia" di kedua-dua belah kaki.

TUDM, dalam kenyataan pada Khamis berkata Rohaizah Ramzuan, 38, diterbangkan dari Alor Star, Kedah dengan pesawat CN-235 pada pukul 5.13 petang dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada pukul 6.15 petang.

Wanita itu ditemani kakaknya Rohana Ramzuan, Pegawai Perubatan Dr Saw Chee Wei dan jururawat Norshakira Mod Rashid. Kenyataan itu menyebut Rohaizah memerlukan rawatan pakar bedah vaskular dengan kadar segera untuk menyelamatkan kakinya daripada dipotong.

"Beliau telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk dinilai dan dibedah semula oleh pakar bedah vaskular hospital berkenaan," kata TUDM.

Ia menyebut keadaan Rohaizah yang serius dan tidak stabil menyebabkan perjalanan menggunakan ambulans atau kapal terbang biasa tidak sesuai.

Pesawat TUDM itu diterbangkan Mejar Rafiddee Dollah dan Kapt Ahmad Shaifuddin Nordin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain