suria

Dua Beradik Miskin Teruja Dapat Kembali Ke Sekolah

GEORGE TOWN: Selepas dua tahun meninggalkan persekolahan akibat kemiskinan, Nur Shawanie Shamsul Anuar, 16 dan adiknya Nur Shafiqah, 14 yang kembali bersekolah pada Rabu bertekad mengejar cita-cita mereka.

Sekalipun tidak berpeluang menduduki Penilaian Menengah Rendah dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, dua beradik itu meneruskan pembelajaran masing-masing di Tingkatan Empat dan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, di sini.

"Saya gembira akhirnya dapat bersekolah seperti kawan-kawan lain dan saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya pada masa depan," kata Nur Shawanie kepada Bernama di sini.

Beliau yang berterima kasih kepada pihak yang membantu mereka dua beradik menyambung semula persekolahan juga berazam tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi itu.

Adiknya Nur Shafiqah, yang bercita-cita menjadi seorang doktor, berkata beliau sangat teruja apabila dapat kembali ke sekolah.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor pada suatu hari ini," katanya yang mahu kembali aktif dalam aktiviti sukan kegemarannya iaitu bola baling dan bertekad mewakili sekolah dalam sukan itu.

Ibu mereka Zatul Iradah Othman, 38, yang berstatus ibu tunggal selepas bercerai dengan suaminya, berkata dua anaknya itu terpaksa berhenti sekolah selepas beliau tidak mampu membiayai pembelajaran mereka.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji RM30 sehari berterima kasih kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung yang menaja perbelanjaan persekolahan serta bantuan bulanan RM110 untuk setiap anaknya.

Zatul Iradah berkata beliau meluangkan masa hampir dua minggu menyediakan kelengkapan sekolah dua anaknya itu.

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain