Anggota PDRM Ditikam Penyabung Ayam Indonesia Di Sebatik - Semasa | mStar

Anggota PDRM Ditikam Penyabung Ayam Indonesia Di Sebatik

JAKARTA: Seorang anggota polis Malaysia cedera ditikam penyabung ayam warga Indonesia dalam serbuan oleh sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke lokasi kegiatan judi sabung ayam di Sungai Melayu, Pulau Sebatik wilayah Malaysia, berhampiran sempadan Malaysia Indonesia.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang 27 Dis lepas itu, anggota polis dipercayai berusia 30 tahun tersebut dilaporkan cedera parah dan dirawat di Hospital Tawau, Sabah.

Sumber yang boleh dipercayai berkata berkata kejadian berlaku di wilayah Malaysia.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan hanya kejadian judi dan serbuan berlaku di wilayah Malaysia, manakala kejadian tikam berlaku di dalam wilayah Indonesia ketika kumpulan penyabung ayam itu yang lari memasuki wilayah negara tersebut dikejar anggota PDRM.

Portal berita Jawa Pos National Network, jpnn.com memetik Ketua Polis Nunukan, Kalimantan Timur, Achmad Suyadi sebagai berkata rakyat Indonesia itu menikam anggota PDRM terbabit setelah anggota polis berkenaan mengacu senjata ke kepalanya apabila suspek terjatuh semasa melarikan diri.

"Setelah menikam, pelaku dan kawan-kawan melarikan diri namun berkat kerja keras pasukan Polis Nunukan, pada Rabu (28 Dis) malam, pelaku berhasil ditangkap, dan dia kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Ketua Polis Nunukan itu berkata judi sabung ayam di wilayah sempadan, sama ada di Sebatik Indonesia mahupun Sebatik Malaysia memang kerap berlaku dan sukar dibanteras kerana mereka lazimnya pergi berjudi di wilayah Malaysia bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa Indonesia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Neymar terus kekal di PSG?