suria

Pastikan Kawasan Bebas Aedes Sebelum Persekolahan Bermula: Hassan

PUTRAJAYA: Pihak pentadbiran sekolah di seluruh negara diminta memastikan kawasan masing-masing bebas daripada potensi pembiakan nyamuk Aedes sebelum sesi persekolahan bermula.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata langkah itu susulan pemeriksaan kementerian tersebut yang mendapati 15 daripada 100 sekolah mempunyai kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Dalam pada itu, secara keseluruhan kes denggi tahun ini menurun dengan hanya 19,682 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga 24 Dis lepas, berbanding 45,684 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, katanya dalam satu kenyataan, di sini Jumaat.

Jumlah kematian akibat denggi juga menurun kepada hanya 33 kes berbanding 133 tahun lalu, kata beliau.

Sementara itu, Dr Hassan berkata pemeriksaan Kementerian Kesihatan mendapati kawasan kedai dan perumahan meliputi 61 peratus daripada jumlah premis yang mempunyai kawasan pembiakan Aedes.

"Memandangkan musim cuti sekolah dan perayaan pada masa sekarang, orang ramai bertumpu di pusat membeli-belah atau kebanyakan kanak-kanak banyak menghabiskan masa di rumah.

"Oleh itu, risiko jangkitan dan penyebaran virus denggi adalah tinggi pada situasi ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain