suria

Langgar Lari Punca Kematian Lelaki Ditemui Terbunuh Di Ampang Isnin Lalu

KUALA LUMPUR: Polis percaya punca kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui di kawasan pembahagi jalan di Jalan Pandan Indah menghala ke Taman Shamelin Perkasa, Ampang di sini Isnin lepas adalah akibat langgar lari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohamed Nazri Zawawi berkata bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa, Seenivasan Subramaniam, 40, seorang warga India mati di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan dada.

"Maklumat mengenai mangsa hanya diketahui apabila seorang rakannya tampil membuat laporan polis mengenai kehilangannya. Rakannya membawa slip pendaftaran pemutihan mangsa bagi Program 6P.

"Menurut rakannya itu, mangsa merupakan rakan serumahnya yang tinggal di Pandan Jaya, iaitu lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Katanya, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat tampil ke balai polis berdekatan untuk memberikan maklumat mengenai kejadian tersebut.

Mayat lelaki itu yang ditemui orang awam kira-kira 9.55 pagi itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain