suria

Mercun, Rokok, Minuman Keras Bernilai Hampir RM1.8 Juta Dirampas

ALOR SETAR:Lagi kejayaan kastam merampas pelbagai jenis mercun, bunga api, rokok dan minuman keras semuanya bernilai hampir RM1.8 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Rabu lepas.

Pengarah Kastam Kedah Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata rampasan hasil serbuan pasukan kastam Bahagian Penguatkuasa Alor Setar ke sebuah premis di kawasan perindustrian kira-kira pukul 6 petang.

Katanya, dua lelaki berusia 30an dipercayai pemilik barang larangan itu ditahan bersasma tiga pekerja bagi membantu siasatan.

Pemeriksaan kastam di kawasan premis yang dipagar dengan atap zink itu menjumpai 524 kotak mercun dan bunga api, 12,760 karton rokok serta pelbagai jenama minuman keras diisi dalam 2,800 keranjang.

Turut dijumpai rokok putih pelbagai jenama berharga RM278,920 melibatkan cukai lebih RM1.1 juta manakala mercun dan bunga api bernilai RM175,773 dengan cukainya berjumlah RM100,573.

Minuman keras berharga RM3,607 dengan cukai sebanyak RM30,167 juga dirampas

"Dipercayai barangan terbabit diseludup dari negara jiran menjadikan premis berkenaan tempat simpanan sementara sebelum dipasarkan ke kawasan utara sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Abd Aziz berkata premis berkenaan dahulunya tempat menyimpan tangki minyak dan dipercayai baru sahaja dijadikan tempat menyimpan barang seludup baru beberapa minggu.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikan barang larangan.

Jika sabit kesalahan kesemua suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda barangan rampasan atau tidak kurang 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain