suria

Belum Berhajat Sertai Perkasa - Hasan

KUALA LUMPUR: Bekas pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali masih belum berhajat untuk menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada masa ini.

“Sehingga hari ini, saya masih belum berhajat untuk menyertai Perkasa. Saya mahu menumpukan sepenuhnya kepada mesej yang kami bawa selama ini iaitu Islam, Melayu dan sistem beraja itu.

“Saya tidak boleh meletakkan kaki satu di sebelah sana, satu di sebelah sini. Saya harus tetapkan kaki.

"Ini yang dinamakan fokus dan saya sedang mencuba untuk fokus,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, Sabtu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pada Jumaat secara terbuka mempelawa Exco Kerajaan Selangor itu menyertai Perkasa sekiranya mahu meneruskan perjuangannya untuk menegakkan agama Islam dan orang Melayu.

Beliau turut menyifatkan sudah tiba masa bagi Dr Hasan untuk membuat keputusan menyertai badan bukan kerajaan (NGO) sekiranya perjuangannya dalam PAS tidak mampu memenuhi hasrat dan cita-citanya itu.

Ketika ditanya sama ada Dr Hasan menolak pelawaan Ibrahim Ali untuk menyertai Perkasa, Dr Hasan hanya menjawab: “Pada peringkat ini saya tidak dapat menerima.”

“Bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ibrahim Ali,” katanya.

Dr Hasan bagaimanapun menjelaskan agar diberikan peluang untuk berjuang dalam wadah sedia ada, dalam wadah yang diberikan kepada beliau.

“Dan untuk menentukan wadah ini mempunyai kesan yang positif dan akan memberikan kebaikan kepada 28 juta umat di Malaysia,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Motosikal Terbakar Di Flat

Artikel Lain