suria

Saifuddin Akan Pertahan Hak Mahasiswa

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau tetap akan mempertahankan hak mahasiswa walaupun mereka mendesak beliau meletakkan jawatan menerusi memorandum yang dihantar semalam.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai desakan dalam memorandum itu, menyerahkan kepada rakyat untuk menilai perkara sebenar.

"Pada pendapat saya, mereka mempunyai hak untuk berhimpun dan bersuara. Saya akan mempertahankan hak mereka ini.

"Saya juga dimaklumkan bahawa sebahagian daripada yang hadir itu ialah mahasiswa. Kepada mereka, saya ingin nyatakan bahawa kasih saya pada mereka tidak berubah," katanya dalam satu kenyataan media yang diedarkan di Parlimen hari ini.

Saifuddin berkata semalam, beliau dimaklumkan oleh pegawai kementerian bahawa kira-kira 350 orang telah mengadakan perhimpunan aman di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi.

Bagaimanapun, beliau ketika itu menghadiri program di Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Setiausaha Sulit Kanan Mohd Nazri Noh yang mewakili beliau telah menerima memorandum berkenaan serta turut menjemput kumpulan itu untuk berjumpa di parlimen tengah hari ini, namun telah ditolak.

Malah, ketika menghadiri program debat di Universiti Putra Malaysia (UPM) malam semalam, beliau juga telah berjumpa dengan Presiden Alumni Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah serta beberapa rakannya dan mereka juga menyerahkan memorandum.

"Pertemuan itu berlangsung dalam tempoh yang singkat sahaja dalam suasana mesra di mana kami bersalaman sambil tersenyum," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain