suria

30 Sekolah Akan Dipilih Jalani Projek Tenaga Solar:Peter Chin

SEKINCHAN: Sebanyak 30 sekolah khususnya di kawasan luar bandar akan dipilih tahun depan untuk menjalani projek tenaga solar dalam usaha membangun dan mempromosikan keupayaan teknologi sumber tenaga diperbaharui itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata projek itu akan dilaksanakan penjana tenaga bebas (IPP) dengan pembiayaan menerusi dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) di bawah kendalian kementerian.

"Projek ini akan dijalankan di 30 sekolah terpilih mulai tahun depan, didahului sebuah sekolah di Parlimen Sungai Besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Komuniti Hijau Peringkat Selangor bertemakan '1 Hijau 1 Komuniti' anjuran kementerian berkenaan di sini, Sabtu.

Peter Chin berkata tenaga solar yang dihasilkan di sekolah itu kelak akan disalurkan menerusi talian kabel Tenaga Nasional Berhad untuk dijual kepada syarikat utiliti itu.

Peter Chin menarik perhatian bahawa lima buah sekolah di negara ini telah menjalani projek perintis tenaga solar itu sebelum ini.

Mengenai program hari ini, menteri itu berkata ia merupakan usaha kementerian untuk mendidik dan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar.

Beliau berkata pelbagai insentif kewangan turut disediakan bagi menggalakkan syarikat swasta mengambil langkah serius mengamalkan aplikasi teknologi hijau dalam penghasilan produk dan perkhidmatan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain