Tekankan Titik Persamaan Nilai Agama Untuk Bina Malaysia Bersatu Padu - Semasa | mStar

Tekankan Titik Persamaan Nilai Agama Untuk Bina Malaysia Bersatu Padu

KLANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat berbilang agama supaya memberi penekanan kepada titik persamaan dalam nilai agama masing-masing demi membina Malaysia yang lebih bersatu padu.

Beliau berkata walaupun setiap agama berbeza dalam mengajar perkara yang baik tetapi nilainya tetap bersandar kepada nilai-nilai universal seperti bersopan, menghormati orang tua, amanah dan rajin bekerja.

"Kalau kita boleh menekankan nilai-nilai bersama, maka kita ada titik persamaan antara sesama kita. Kita boleh memupuk warganegara yang baik tak kira sama ada Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Tao...yang penting warganegara yang baik yang sayang pada negara, setia pada negara hormat undang-undang dan kaum agama yang lain," katanya.

Ketika berucap pada jamuan makan malam Perpaduan Agama Tao Selangor di Pandamaran di sini, beliau berkata pengasas Malaysia yang diketuai Tunku Abdul Rahman mempunyai pandangan jauh untuk mentadbir negara yang kompleks seperti Malaysia.

"Justeru, rakyat dan pemimpin-pemimpin perlu mempunyai sikap bertolak ansur. Kalau kita nak semua yang kita tuntut, pastilah kita akan berbalah atau bergaduh antara satu sama lain," katanya.

Selain itu, katanya rakyat Malaysia juga mempunyai sikap saling menghormati antara satu sama lain terhadap aspek agama dan budaya seperti yang ditampilkan oleh penganjur majlis itu, Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Selangor, yang menyediakan makanan halal untuk jemputan Islam.

"Saya datang malam ini bersama MIC, MCA, PPP (Parti Progresif Penduduk), Gerakan kerana kita menghormati agama Tao sebab itu kami ada bersama-sama dalam majlis ini," katanya sambil berterima kasih dengan sambutan yang diterima pada majlis itu, yang dihadiri kira-kira 15,000 orang daripada pelbagai kaum dan agama.

Najib juga berkata Gagasan 1Malaysia diperkenalkan berteraskan dasar-dasar inklusif terutamanya dalam pembasmian kemiskinan yang tidak mengira kaum dalam menghulurkan bantuan.

"Bila kerajaan beri (bantuan sekolah) RM100, kita beri kepada setiap pelajar tidak kira sama ada Sekolah Kebangsaan, Cina, Tamil dan Sekolah Agama dan dalam sedikit masa lagi kita beri (bantuan rakyat 1Malaysia) RM500 pula kepada mereka berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 (sebulan)," katanya.

Menurutnya kerajaan telah melakukan banyak perkara untuk menjamin Malaysia maju ke hadapan sebagai negara berpendapatan tinggi termasuk mengurangkan kerenah birokrasi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata peluang perniagaan untuk masyarakat Cina tidak pernah disekat dan ini dapat dilihat daripada penguasaan mereka terhadap sebahagian besar perniagaan dalam negara.

"Mereka berjaya kerana kita amalkan dasar ekonomi yang bebas. Kita jamin keamanan dalam negara dan kestabilan dalam negara.

"Kita berlaku adil kepada semua kaum. Orang Cina boleh maju kerana dasar kita. Tidak ada orang Cina yang boleh kata mereka kaya tanpa pertolongan kerajaan," katanya.

Beliau berkata selain kaum lain, kerajaan juga memberikan penukaran tanah, lesen bank, lesen beras, lesen gula kepada kaum Cina untuk membantu membangunkan ekonomi mereka.

"Oleh itu, rakyat haruslah sokong apa yang dilakukan oleh kerajaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain