suria

Majikan Diminta Beri Peluang Wanita Bekerja Separuh Masa

KUALA LUMPUR: Majikan diminta memberi peluang kepada wanita yang memilih bekerja separuh masa kerana perkara itu dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata peraturan itu, yang dilaksanakan sejak Oktober tahun lepas, membolehkan suri rumah, ibu tunggal, pesara, orang kurang upaya dan pelajar institusi pengajian tinggi bekerja secara separuh masa.

"Namun, tidak banyak majikan yang memberi peluang itu kepada mereka. Ini mungkin disebabkan mentaliti majikan yang pekerjanya perlu berada di pejabat bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab mengikut waktu kerja standard," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ulang Tahun Kedua Kelab Soroptimist International Sentul di sini Ahad.

Beliau berkata peraturan itu, antara lain, dilaksanakan bagi membuka peluang pekerjaan separuh masa kepada wanita yang mempunyai pendidikan tinggi dan berpengalaman untuk menyumbang dalam pembangunan negara.

"Saya harap pihak majikan lebih proaktif dalam hal ini dan mewujudkan peluang kerja separuh masa kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab sebagai ibu atau isteri untuk menggunakan pendidikan mereka secara optimal," katanya.

Subramaniam berkata majikan juga perlu mengkaji untuk menyediakan peluang bekerja dari rumah memandangkan kecanggihan teknologi dan kemudahan terkini yang membolehkan ia dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta pemaju perumahan dan bangunan memastikan agar kerja pemasangan elektrik hanya dilakukan tenaga kerja mahir bagi mengelak kejadian litar pintas.

"Mereka yang datang sebagai pekerja am tidak boleh diberi tugas-tugas teknikal tanpa diawasi oleh penyelia yang mempunyai pengalaman atau pengiktirafan kerana jika berlaku sebarang insiden, syarikat terbabit perlu bertanggungjawab," katanya.

Subramaniam berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan mengenai pemaju perumahan dan bangunan yang cenderung mengupah pekerja asing, yang dikhuatiri tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengenai sistem pendawaian elektrik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain