suria

Kempen Kesedaran AIDS Perlu Dekati Komuniti

SANDAKAN: Kempen kesedaran mengenai AIDS perlu ditumpukan kepada usaha mendekati komuniti bagi menyalurkan maklumat tepat mengenai sindrom itu.

Presiden Majlis AIDS Malaysia Tan Sri Mohd Zaman Khan berkata mendekati komuniti merupakan suatu respon yang amat bertepatan terhadap situasi epidemik HIV dan AIDS di negara ini.

Katanya situasi itu sebahagian besarnya berlaku di negara ini adalah berpunca daripada transmisi seksual.

"Tumpuan perlu diberikan dalam mendidik masyarakat tempatan dengan maklumat yang tepat tentang HIV dan AIDS, selain mendekati komuniti terpinggir yang terdedah secara langsung kepada risiko jangkitan," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Hari AIDS Sedunia anjuran Persatuan Kumpulan Sokongan AIDS Sandakan (SAGA) di sini malam tadi.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan tiga misi sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini iaitu iaitu Sifar Jangkitan Baru, Sifar Diskriminasi dan Sifar Kematian Berkaitan dengan AIDS.

Katanya sasaran sifar adalah matlamat unggul yang menyatupadukan pihak terlibat dalam usaha mengawal penularan epidemik HIV dan AIDS di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mahu lebih banyak program dibuat bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif buat orang yang hidup dengan HIV untuk mereka menjalani kehidupan normal yang bebas daripada tekanan stigma dan diskriminasi. - BERNAMA

Artikel Lain