suria

Setakat Ini Tiada Unsur Pecah Amanah Dalam NFC - TKPN

KUALA LUMPUR: Tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

"Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

"Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rondaan Bersama Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di bawah Strategi Gelombang Biru Kebangsaan di Taman Bukit Rahman Putra di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin, Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Robert Phang, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Md Rashid.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata siasatan masih diteruskan berhubung penahanan 13 individu termasuk warga Filipina dan Indonesia di Tawau, Sabah baru-baru ini, yang disyaki cuba menghidupkan kegiatan militan di negeri berkenaan.

"Mereka masih disiasat, sebab itulah kita tahan mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana siasatan perlukan masa untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kegiatan dan rangkaian mereka.

"Kita mempunyai asas dan bukti yang kukuh untuk menahan mereka mengikut akta itu kerana membabitkan isu keselamatan negara dan rakyat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain