suria

Lebih 1,200 Penumpang KTM Terkandas Akibat Objek Mencurigakan

KUALA LUMPUR: Lebih 1,200 penumpang perkhidmatan kereta api di sektor utara terjejas akibat gangguan perkhidmatan setelah satu objek dikhuatiri bahan letupan ditemui di landasan antara laluan Sungkai-Slim River di KM 259 pagi tadi.

Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), perkhidmatan yang telah dibatalkan ialah tren Ekspres Sinaran Utara manakala Ekspres Senandung Langkawi dan Ekspres Senandung Mutiara masing-masing ditamatkan di stesen Tapah Road dan di stesen Kampar di mana penumpang telah dipindahkan menaiki bas perantaraan ke stesen KL Sentral.

Perkhidmatan tren elektrik pula ditamatkan di stesen Tanjung Malim dan penumpang dipindahkan menaiki bas ke stesen Tapah Road manakala tren dari arah Ipoh ditamatkan di stesen Tapah Road dan penumpang dipindahkan menaiki bas ke stesen Tanjung Malim.

Menurut kenyataan itu, pasukan polis telah mengalihkan objek berkenaan dan perkhidmatan pulih mulai petang ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Ahmad pula berkata, polis menerima panggilan mengenai objek itu pada 1.45 pagi tadi, dan mengerahkan Unit Pemusnah Bom daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak membuat pemeriksaan di landasan sejauh 76 km antara Tanjung Malim dan Tapah Road.

"Terdapat 21 jambatan antara laluan Tanjung Malim dan Tapah dan pemeriksaan perlu dibuat secara berhati-hati dan mengambil masa kerana keadaan yang gelap," katanya kepada pemberita.

Roslan bagaimanapun berkata, hasil daripada pemeriksaan, polis menemui satu bonggol berhampiran sebuah jambatan di landasan di kM 259.25 berhampiran Slim River pada 12.05 tengah hari tadi.

Bonggol itu kemudian diletupkan tetapi siasatan mendapati tiada bom ditemui di situ.

"Hanya sekeping tikar yang dilipat mengandungi botol-botol kosong ditanam berhampiran jambatan berkenaan," katanya.

Roslan berkata polis sedang mengesan individu yang membuat panggilan mengenai objek itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain