suria

Polis Sahkan Tahanan Mati Disebabkan Jangkitan Ulser

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kematian seorang penagih dadah selepas pengsan di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil dua hari lepas, disebabkan jangkitan ulser.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan Bahagian Patalogi Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 4.45 petang semalam.

Beliau berkata, mayat telah diserahkan kepada waris terdekat pada hari yang sama dua jam kemudian untuk dikebumikan.

"Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut itu," katanya dalam satu kenyataan.

Lelaki berumur 50 tahun itu ditemui pengsan di lokapnya pada 3.45 petang sebelum dihantar ke HKL oleh anggota polis yang bertugas. Bagaimanapun, doktor yang merawatnya mengesahkan lelaki itu meninggal dunia setengah jam kemudian.

Siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan reman kes narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sejak 23 November lalu tidak mengalami sebarang kecederaan luaran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain