suria

Jln Tun Sambanthan Bebas Petak Kereta Mulai Sabtu

KUALA LUMPUR: Bermula Sabtu ini, orang ramai tidak boleh meletak kenderaan di sepanjang Jalan Tun Sambanthan dan kawasan Little India di sini berikutan pelaksaaan lorong khas untuk bas dan teksi di jalan itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr Ismail Stapa berkata, lorong khas itu adalah untuk kegunaan bas dan teksi dari arah pusat bandar raya menghala Taman Seputeh dan Bangsar bermula dari persimpangan Jalan Tun Sambanthan/Jalan Tun Sambanthan 4 melalui kawasan Little India ke Taman Seputeh dan Bangsar melalui Jalan Travers.

"Lorong khas bagi bas dan teksi itu berkuatkuasa setiap hari dari jam 6 pagi hingga 8 malam," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Berikutan itu, katanya, DBKL menyediakan 41 petak letak kereta di lorong belakang Jalan Tun Sambanthan manakala 54 petak letak kereta gantian disediakan di belakang kawasan Little India bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle.

Ismail berkata, semua aktiviti punggah memunggah pula hendaklah dilakukan di lorong belakang atau di lorong khas bas dan teksi antara 8 malam hingga 6 pagi sahaja.

Beliau berkata, serentak dengan itu juga perkhidmatan bas tidak lagi melalui Jalan Sultan Abdul Samad di Brickfields dan orang ramai hendaklah menunggu bas di pondok menunggu yang disediakan berhampiran Bank Hong Leong/Restoran Puteri manakala bagi perkhidmatan teksi pula pondok menunggu disediakan bersebelahan Bank CIMB.

Semua arah laluan lain di Brickfields masih dikekalkan dan pengguna jalan raya dinasihati mematuhi papan tanda arah lalu lintas yang disediakan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain