suria

PKR Tegas Mahu Kerajaan Tarik Balik Rang Undang-undang Perhimpunan Aman

JOHOR BAHRU: Pembangkang tetap dengan pendirian mahu kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 kerana disifatkan menyekat hak rakyat di negara ini untuk berhimpun secara aman walaupun beberapa pindaan terhadapnya akan dilakukan.

Sambil menyifatkan pindaan yang bakal dibuat hanya bersifat 'kosmetik', Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembatalan terhadap cadangan akta itu merupakan jalan terbaik bagi memastikan amalan demokrasi dapat terus dilaksanakan.

"Sejak dari awal PKR dan Pakatan Rakyat membantah penggubalan akta baru ini. Tak guna kerajaan membuat pindaan kerana bagi kami ia hanya kosmetik. Pendirian kita mahu ia ditarik balik bukannya dipinda.

"Pindaan itu akan tetap meletakkan halangan kepada rakyat untuk mengadakan perhimpunan...pelbagai lagi fasal-fasal lain yang dengan jelas tidak akan memungkinkan rakyat untuk berhimpun," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Kongres Nasional PKR ke-8 di sini, Ahad.

Beliau mengulas mengenai persetujuan kerajaan untuk membuat beberapa pindaan terhadap Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibaca kali kedua di Dewan Rakyat Khamis lalu selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan orang ramai.

Mengulas lanjut Saifussin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, keputusan kerajaan itu dibuat kerana menerima gesaan dan bantahan daripada rakyat.

Tambah beliau kerajaan akhirnya akur dengan suara rakyat yang secara keseluruhannya menolak cadangan akta baru ini.

"Saya yakin Perdana Menteri sebenarnya bukan terlepas pandang mengenai perkara ini, tapi beliau sebaliknya tidak terfikir langsung kesannya kepada rakyat," katanya.

Tegas Saifuddin, pembangkang akan mengemukakan bantahan berhubung penggubalan cadangan akta baru itu pada sesi perbahasan Dewan Rakyat Selasa ini.

Pindaan yang akan dibentangkan pada peringkat Jawatankuasa di Parlimen Selasa ini meliputi:

1) Pengguguran perkataan ‘perasaan tidak puas hati’ pada Fasal 6, Fasal 7 dan Fasal 21.

2) Tempoh pemberitahuan perhimpunan oleh penganjur dipendekkan daripada 30 hari kepada 10 hari dalam Fasal 9.

3) Perkataan ‘dalam masa’ (within) diubah kepada `daripada' (from) iaitu `dalam masa 10 hari' kepada ‘daripada 10 hari’ yang bermaksud notis perlu dikemukakan 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan, dalam Fasal 9.

4) Tempoh untuk polis memaklumkan pihak berkepentingan dipinda daripada 48 jam kepada 24 jam dalam Fasal 12(1).

5) Tempoh mengemukakan bantahan pihak berkepentingan dikurangkan daripada lima hari kepada dua hari dalam Fasal 12(2).

6) Tempoh rayuan penganjur kepada Menteri Dalam Negeri dikurangkan daripada empat hari kepada dua hari dalam Fasal 16(1).

7) Tempoh Menteri Dalam Negeri membuat keputusan terhadap rayuan, dipinda daripada enam hari kepada dua hari daripada tarikh penerimaan rayuan terbabit dalam Fasal 16(2).

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain