suria

Jaringan Melayu Malaysia Terus Bantah Program Seksualiti Merdeka

PUTRAJAYA: Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Gerakan Belia 4B Putrajaya pada Sabtu mengadakan perhimpunan aman membantah program Seksualiti Merdeka yang menghimpunkan golongan dan pendokong lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, bantahan itu bukan bermotifkan politik sebaliknya sebagai satu usaha untuk menghalang nilai negatif menular di kalangan generasi muda, seterusnya merosakkan akhlak dan moral mereka.

"Perhimpunan turut disertai bangsa lain iaitu kaum China dan Hindu yang juga membantah perkara yang ternyata tidak bermoral dan semata-mata mempromosikan nafsu gila," katanya kepada pemberita di sini.

Usaha membantah program itu, katanya akan diteruskan di beberapa lokasi lagi di Selangor dan Wilayah Persekutuan minggu hadapan kerana soal itu bukan hanya berkaitan dengan kaum Melayu tetapi juga kaum lain.

Azwanddin berkata, bantahan tidak semestinya perlu dipikul oleh golongan ulama sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat, khususnya dalam usaha memupuk kesedaran umum.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 bertujuan menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak mengharamkan penganjuran Seksualiti Merdeka yang dijadual pada 1 hingga 13 November lepas kerana bertentangan dengan Islam dan moral kemanusiaan. - BERNAMA

Artikel Lain