suria

Anwar Perjelas Pendirian Pembangkang Cadangan PM Melayu

JOHOR BAHRU: Pakatan Rakyat tidak akan menyokong sebarang cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghadkan jawatan Perdana Menteri hanya terbatas kepada orang Melayu.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) tegas mempertahankan kandungan Perlembagaan bagi mengelakkan timbulnya sebarang isu perkauman.

Sambil menyifatkan cabaran Angkatan Muda Keadilan (AMK) agar Umno meminda Perlembagaan bagi membolehkan hanya orang Melayu menjadi Perdana Menteri sebagai hanya 'strategi' sayap parti itu, Anwar mengulangi bahawa perkara berkenaan bukan menjadi dasar pembangkang.

"Kita tidak akan sokong (pinda Perlembagaan), kita mahu Perlembagaan kita kekal seperti sedia ada. Kita cabar kerana Umno seringkali bicara soal perjuangan Melayu...itu pun hanya kepada Melayu elit.

"Mereka hanya sebut tentang Melayu, ketuanan Melayu serta dasar untuk Melayu. Mereka cuba untuk kelirukan masyarakat Melayu.

"Itu strategi (cabar pinda Perlembagaan), tapi bukan strategi saya...(tapi) Ketua AMK. Tapi ini bukan pendirian kita," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Kongres Nasional PKR ke-8 di sini, Sabtu.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata demikian bagi menjelaskan pendirian sebenar pembangkang berhubung cabaran Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada Umno agar meminda Perlembagaan bagi membolehkan hanya orang Melayu menjadi Perdana Menteri.

Shamsul Iskandar mencabar Umno meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan syarat dan jaminan jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh seorang Melayu jika benar parti teras Barisan Nasional (BN) itu mendakwa hanya ia yang boleh melindungi kaum Melayu.

Menurut Shamsul Iskandar, alasan jawatan Perdana Menteri dipegang oleh seorang Melayu hanya semata-mata kerana Umno mahu terus berkuasa.

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain