suria

Banjir: Besut Semakin Pulih Tapi Kawasan Lain Tidak Berubah

KUALA TERENGGANU: Banjir di daerah Besut telah pulih tetapi keadaan di kawasan-kawasan lain di Terengganu tidak banyak berubah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata, 89 mangsa di daerah itu dibenarkan pulang ke rumah mereka berikutan air mula surut.

Secara keseluruhan, keadaan banjir di Terengganu semakin baik dengan seramai 798 mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 1,236 orang pagi tadi.

Katanya, mangsa-mangsa itu ialah 21 orang di Hulu Terengganu, 75 di Kemaman, lapan di Kuala Terengganu, 34 di Marang dan 660 di Setiu.

Beliau berkata, air di kebanyakan sungai utama berada di bawah paras amaran.

Keadaan banjir di Kelantan juga semakin pulih.

Sehingga malam ini, 36 daripada 1,817 mangsa banjir sudah pun pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, jumlah pusat pemindahan yang dibuka di seluruh Kelantan berkurangan dari 22 ke 11.

"Sehingga kini hanya Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatatkan paras bahaya iaitu 10.22 meter," katanya.

Menurut beliau, laluan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah di Machang iaitu Jalan Machang-Pangkal, Jalan Meleret-Wakaf Bata.

Di Pasir Mas ialah Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama-Kampung Siram).

Di Tanah Merah ialah Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh dan di Tumpat ialah di Jalan Cabang 4-Kampung Jambu-Meranti dan Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan.

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain