suria

Pegawai Sebabkan Kerugian Wang Kerajaan Perlu Bertanggungjawab - JPA

SEREMBAN: Pegawai yang menyebabkan kerajaan kerugian wang atas kecuaian mereka akan diminta untuk membayar balik daripada hasil yang hilang itu dan mereka juga boleh dipecat.

Jika terdapat kes-kes penyelewengan, ketua-ketua kementerian dan jabatan perlu mengambil tanggungjawab untuk melaporkan perkara itu kepada polis agar penyiasatan boleh dijalankan.

Ini merupakan antara langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memastikan bahawa penjawat awam adalah bertanggungjawab terhadap kerugian yang diketengahkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan 2010.

Jabatan tersebut mengeluarkan satu garis panduan komprehensif pada Selasa lalu kepada semua kementerian dan pihak berkuasa negeri sebagai rujuk kepada mereka sebelum mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak bersalah.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, ia telah diputuskan dalam mesyuarat dengan semua ketua setiausaha kementerian dan JPA pada 2 November lalu.

"Saya berharap semua kementerian melihat isu ini secara serius. Kita perlu berbuat demikian bagi melindungi imej perkhidmatan awam dan memastikan usaha untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas.

"Jika terdapat kes-kes kehilangan dana atau harta kerajaan maka siasatan dalaman perlu dijalankan serta-merta dan laporan akhir perlu dikemukakan (kepada JPA) dalam tempoh empat bulan," katanya sambil menambah bahawa salinan laporan itu juga perlu dikemukakan kepada Perbendaharaan dan pegawai kewangan negeri.

Abu Bakar berkata, jika Perbendaharaan atau pegawai-pegawai kewangan negeri merasakan bahawa pegawai yang menyeleweng itu perlu dikenakan tindakan disiplin atau surcaj maka ia harus membuat perakuan kepada suruhanjaya perkhidmatan masing-masing.

Kebanyakan kakitangan awam di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (JPA). Bagaimanapun, terdapat badan-badan lain yang seumpamanya seperti Suruhanjaya Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Abu Bakar menambah, semua kementerian perlu menyediakan jawapan untuk pertanyaan yang dibangkitkan oleh laporan Ketua Audit Negara sekiranya tindakan disiplin atau undang-undang akan dilakukan ke atas mereka yang melakukan kesilapan itu.

Bagaimanapun, tunggakan atau hasil yang tidak boleh diambil atas sebab-sebab di luar kawalan penjawat awam boleh dihapus kira dengan syarat ia diluluskan oleh Menteri Kewangan atau diwakili oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Abu Bakar turut berkata, ketua setiausaha atau ketua jabatan mesti memaklumkannya secara bertulis kepada Perbendaharaan atau pegawai kewangan negeri mengenai bila dan mengapa pendapatan tertentu tidak dapat diambil.

Salinan juga perlu dihantar kepada Ketua Audit Negara dan Ketua Akauntan.

Abu Bakar berkata, Perbendaharaan atau pegawai kewangan negeri juga diberi kuasa untuk melantik pegawai-pegawai dari bahagian-bahagian lain di kementerian atau jabatan yang menjalankan siasatan ke atas penyelewengan kewangan.

Kementerian atau jabatan-jabatan negeri, katanya, perlu mendapatkan secara bertulis mengenai apa-apa maklumat yang mereka perlukan daripada kontraktor, syarikat, perunding atau individu dalam menjalankan siasatan ke atas salah laku berkenaan.

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain