suria

Empat Syarat Jika Mahu Buka Maahad Tahfiz Di Perak

IPOH: Kerajan Perak menggariskan empat syarat utama bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan pengajian Islam dan tahfiz Al-Quran dengan membuka maahad di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata maahad itu perlu diwartakan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta premis yang ingin digunakan untuk pengajian perlu terlebih dahulu mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan.

"Selain itu, jumlah pelajar permulaan perlu melebihi 25 orang dan maahad tersebut hendaklah didaftarkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat 1996 dan Kaedah Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1997," katanya ketika menjawab soalan Datuk Nadzri Ismail (BN-Manjoi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis.

Zambry berkata setakat ini terdapat 17 maahad tahfiz di Perak dan peluang kerjaya serta masa depan para pelajar yang mengikuti pengajian Tahfiz dan Al-Quran turut terjamin kerana mereka juga mempelajari pengajian aliran perdana.

Kerajaan negeri berusaha menjadikan pelajar aliran tahfiz sebagai insan berjaya dengan memastikan mereka tidak hanya tertumpu kepada hafazan Al-Quran sahaja sebaliknya turut mengikuti bidang akademik seperti pelajar lain, katanya.

"Selain mendalami bidang agama dan menghafaz Al-Quran, pelajar maahad tahfiz tetap akan mengambil peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia. Ini seiring dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan golongan ulama yang intelektual dan bertaraf profesional," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin (BN-Kubu Gajah) berhubung pemantauan maahad tahfiz, Zambry berkata kerajaan negeri bukan sahaja memantau daripada aspek modul pendidikan tetapi juga keselamatan dan kesihatan pelajar.

Beliau berkata dalam konteks pendidikan, kerajaan negeri berharap maahad tahfiz tidak dijadikan sebagai medan berpolitik demi masa depan generasi akan datang.

"Kerajaan negeri sentiasa melaksanakan pendekatan berjumpa dengan pentadbir supaya ia dapat dipantau bagi memastikan masa depan anak-anak yang belajar di situ terjamin dan tidak menjadi mangsa kepada idealogi politik sempit," katanya.

Zambry turut menyangkal dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) yang bangun mencelah menyatakan bahawa kerajaan pakatan pembangkang yang mentadbir Perak sebelum ini telah meluluskan tanah seluas 18 hektar untuk Pondok Ad-diniah Al-Latiffiah di Pengkalan Hulu, Gerik atau lebih dikenali sebagai pondok Pak Teh.

Menteri Besar itu menyifatkan dakwaan berkenaan satu pembohongan pembangkang kerana permohonan tanah itu diluluskan oleh Tan Sri Tajol Rosli Ghazali yang ketika itu merupakan Menteri Besar sebelum pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri.

"Ini lagi fitnah ADUN Pasir Panjang yang sangat serius kerana permohonan diluluskan oleh ADUN Pengkalan Hulu tetapi mereka (pakatan pembangkang) hanya datang menyerahkan sijil kelulusan sahaja," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain