suria

Pengurus Ladang Mati Ditikam Dua Pekerja

BELURAN: Seorang pengurus ladang kelapa sawit ditemui mati ditikam di Ladang Ruku-Ruku Telupid semalam. Mayat Leong Yun Hin, 38, ditemui dengan beberapa kesan tikaman di badan dalam keretanya kira-kira pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan Sivanathan Velautham berkata, sehubungan itu polis menahan dua lelaki rakyat Indonesia dalam satu sekatan jalan raya di Inanam Kota Kinabalu hari ini, bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kereta yang dinaiki Leong bersama seorang pekerja wanitanya berusia 20 tahun ditahan oleh dua lelaki yang juga pekerjanya di sebuah kawasan ladang kelapa sawit.

Dua lelaki itu yang masing-masing bersenjatakan sebilah pisau mengugut mangsa supaya menyerahkan pasport mereka dan mangsa memberitahu bahawa pasport mereka akan diserahkan tetapi meminta mereka pergi ke pejabat ladang itu.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu tidak berpuas hati lalu bertindak menikam mangsa dan pekerja wanita itu cuba menghalang tetapi gagal, katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dan membawa bersama pekerja wanita berkenaan.

Wanita itu ditinggalkan di Ranau dan mereka meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu sebelum ditahan dalam satu sekatan polis, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain