suria

Malaysia - Unesco Kaji Semula Dasar Pelajaran Malaysia

PUTRAJAYA: Malaysia dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco), Jumaat, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengkaji semula dasar pendidikan di semua peringkat dari prasekolah hingga pendidikan tinggi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed berkata kajian semula itu dibuat bagi memastikan semua rakyat Malaysia mengetahui kemampuan mereka, serta bersedia untuk memenuhi tenaga kerja pada masa depan dengan kemahiran yang diperlukan selaras dengan pelbagai program transformasi kerajaan untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Objektif kajian itu adalah untuk menilai dasar-dasar, strategi dan pencapaian sistem pendidikan Malaysia. Kajian dijangka memberi tumpuan terhadap kepentingan bidang seperti pembangunan kurikulum, latihan teknikal dan vokasional, teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam pelajaran, latihan guru serta penilaian berasaskan sekolah dan peperiksaan.

"Dalam hal ini, saya yakin Unesco boleh melengkapkan usaha kami dalam menggubal dasar pendidikan yang komprehensif dan holistik bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan rakyat Malaysia," katanya pada majlis tandatangan antara kedua pihak itu, di sini, Jumaat.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Biro Rantau Asia-Pasifik Unesco bagi pendidikan berpejabat di Bangkok, Etienne Clement dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Rosli berkata kajian juga akan menjadi input penting untuk kajian semua dasar pelajaran yang kini sedang dijalankan oleh kementerian. Beliau berkata usaha antara kedua-dua pihak merupakan satu lagi pencapaian penting selaras dengan usaha untuk memenuhi sasaran Pendidikan Untuk Semua (EFA), serta sebagai aspirasi negara untuk mencapai sistem pendidikan bertaraf dunia yang setaraf dengan negara maju lain.

Sementara itu, Clement berkata penglibatan Unesco dalam kajian semula itu akan membawa cadangan dan prospek global, di mana mereka boleh berkongsi pengalaman dan pengetahuan daripada negara lain di dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain