suria

Isu Kenaikan Harga Barang: Kerajaan Jaga Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh mengawal semua harga barang kerana pasaran barangan keperluan merupakan pasaran bebas namun akan terus melaksanakan langkah menjaga kebajikan rakyat dalam isu kenaikan harga barang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe.

Beliau berkata kerajaan tidak akan melepaskan tanggungjawab kerana kebajikan rakyat sentiasa diutamakan, sambil memberi contoh Program Menu Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan pada 7 Julai lepas, bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

"Apa yang kita boleh nasihatkan adalah sebagai pengguna kita perlu bijak untuk bandingkan harga malah kementerian sentiasa mengalu-alukan persatuan, pengusaha makanan dan restoran untuk berbincang mengenai isu ini dari semasa ke semasa," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tan juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan secara melampau setiap kali tiba musim perayaan utama masyarakat negara ini.

Katanya pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dapat memastikan pengguna mendapat barang-barang keperluan pada harga yang berpatutan sepanjang masa di samping menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah.

Tan berkata kementerian akan menetapkan harga runcit terhadap beberapa barang keperluan melalui persetujuan di antara pihak industri dan kementerian.

"Kementerian mengambil kira setiap aduan pengguna dan sebarang perubahan harga barang perlu mendapat kebenaran daripada kementerian," katanya kepada soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu usaha kementerian dalam mengatasi kenaikan harga barangan terutamanya menjelang musim perayaan.

"Di bawah skim ini, harga maksimun ditentukan di peringkat pengeluaran, pemborongan dan peruncitan untuk barangan keperluan musim perayaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya, sambil menambah skim tersebut dilaksanakan pada perayaan seperti Hari Raya, Deepavali, Krismas, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

Katanya Pasar Tani turut dicadangkan dibuka menjelang perayaan kerana pusat jualan tersebut menawarkan harga yang lebih rendah.

Kepada soalan Siti Zailah sama ada punca kenaikan harga barangan disebabkan penstukturan semula harga yang diperkenalkan kerajaan, Tan berkata trend harga barangan khususnya makanan dilihat semakin meningkat berdasarkan beberapa faktor seperti persaingan, penawaran dan bencana alam.

"Kita jangan marah kerajaan kerana kerajaan sentiasa ingin memastikan rakyat sentiasa terbela malah penstrukturan semula harga barang tidak banyak mendatangkan impak negatif kepada rakyat," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain