suria

Najib: Pergerakan Yayasan Kesederhanaan Global Dilancar Januari Depan

HONOLULU: Pergerakan Yayasan Kesederhanaan Global akan dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur, Januari tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu.

Beliau berkata penubuhan pergerakan itu amat tepat dengan masanya iaitu ketika sokongan antarabangsa terhadap kesederhanaan semakin meningkat momentumnya dalam menghadapi tindakan puak pelampau di seluruh dunia.

Yayasan itu akan dilancarkan pada persidangan antarabangsa pertama mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global di Kuala Lumpur dari 17 hingga 19 Jan tahun depan, kata Perdana Menteri ketika berucap di East-West Center di sini pada Sabtu.

"Inilah masanya untuk kita, golongan majoriti yang cintakan keamanan dn kesederhanaan, untuk menuntut kembali kedudukan kita yang sebenar," kata beliau di hadapan kira-kira 200 jemputan antarabangsa.

Sambil menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyatakan dengan tegas pendirian mereka dalam menentang tindakan pelampau, Najib berkata: "Kita perlu pastikan suara kita didengari - bukan saja suara umat Islam yang bersikap sederhana, tetapi juga suara penganut agama Kristian, Hindu, Yahudi dan ateis yang berpendirian sederhana." - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain