suria

Enam Ditahan Dipercayai Terlibat Dalam Dua Kes Culik

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan berjaya menahan enam orang suspek termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam dua kes culik berasingan pada 19 dan 29 September lalu, di sini.

Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata kesemua suspek berusia antara 23 hingga 32 tahun itu berjaya ditahan secara berasingan sejak dua minggu lalu.

Katanya, kes pertama yang berlaku berhampiran sebuah pusat membeli-belah di sini pada 19 September membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun telah didatangi empat lelaki yang mengacukan sebilah parang ke lehernya.

Osman berkata mangsa kemudiannya diheret masuk ke dalam kereta dan dibawa ke sebuah rumah di Taman Seremban Jaya.

"Suspek kemudiannya menghubungi abang mangsa dan meminta wang tebusan sebanyak RM15,000. Abang mangsa kemudian membayar wang tebusan sebelum mangsa dibebaskan di Lebuh Raya Plus berhampiran Plaza Tol Labu," katanya dalam sidang media di sini Jumaat.

Kes kedua pula berlaku di Taman Seremban Jaya ketika mangsa, seorang wanita berusia 26 tahun sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki motosikal telah dilanggar sebuah kereta.

Osman berkata empat lelaki kemudiannya keluar dari kereta dan mengheret mangsa yang mengalami patah bahu ke dalam kereta dan dibawa ke rumah yang sama di Taman Seremban Jaya.

"Suspek kemudiannya menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan RM150,000 namun keluarga mangsa tidak membuat pembayaran sebab tidak ada duit.

"Mangsa kemudiannya dilepaskan tiga hari selepas itu di tepi Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Nilai sebelum dijumpai pegawai peronda lebuhraya itu," katanya.

Kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan secara berasingan di Seremban Jaya, Seremban Selatan, Klang dan Shah Alam dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain