suria

Empat Diberkas, Tiga Kilogram Ketamin Dirampas

ALOR SETAR: Polis Narkotik Kedah memberkas empat lelaki dan merampas kira-kira tiga kilogram dadah jenis ketamin dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Datuk Kumbar di sini, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Ghafar Rejab berkata, harga pasaran dadah tersebut kira-kira RM72,000, cukup untuk kegunaan 750 orang penagih.

Katanya polis membuat risikan hampir lima bulan sebelum menyerbu rumah yang disewa oleh empat lelaki tempatan berusia 30-an itu kira-kira 4.10 petang Rabu.

"Polis menemui tiga bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah di atas meja di ruang tamu rumah. Pada masa serbuan mereka dipercayai sedang berurusan untuk mengedar dadah tersebut," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata seorang daripada lelaki itu bekerja sebagai buruh dikehendaki polis kerana mencuri kenderaan manakala tiga lagi berniaga. Ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka termasuk buruh itu positif dadah methamphetamin.

Ghafar berkata dadah tersebut dipercayai dibawa dari India melalui negara jiran dan polis masih menyiasat hubungan kumpulan lelaki itu dengan kumpulan pengedaran dadah di negara ini.

Katanya keempat-empat lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain