suria

Banduan Tidak Akan Diserap Sebagai Buruh Ganti Pekerja Asing - Abu Seman

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk menyerapkan banduan yang menjalani hukuman di luar penjara sebagai buruh bagi menggantikan tenaga pekerja asing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop berkata bekas banduan yang dibebaskan selepas mengikuti Program Pemulihan Pemasyarakatan mempunyai kebebasan menyertai mana-mana sektor pekerjaan berasaskan kecenderungan dan kemahiran yang dimiliki.

"Program ini adalah bagi mengurangkan kadar residivis (kemasukan semula banduan ke penjara) dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan dalam penjara. Ia dijalankan secara kerjasama antara KDN dan Kementerian Pertahanan di mana banduan ditempatkan di blok-blok penempatan yang dibina di beberapa kem tentera," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau).

Berdasarkan undang-undang di bawah Akta Penjara 1995, seseorang banduan yang sedang menjalani hukukman penjara lebih setahun dan mencapai tahap pemulihan cemerlang dalam penjara, boleh menjalani hukuman di luar penjara melalui pelepasan secara perintah parol atau menyertai Program Pemulihan Pemasyarakatan.

Abu Seman berkata di bawah program itu, banduan akan diberi pendedahan dalam pelbagai bidang kerja seperti pembersihan, pembaikan kecil bangunan kem, pemotongan rumput dan landskap dengan kerjasama anggota tentera dan penjara.

"Mereka juga diberi latihan pertanian seperti menternak ikan dan menanam sayur-sayuran secara besar-besaran. Kursus kemahiran bersijil seperti refleksologi, asas komputer, asas motor mekanik dan penghawa dingin turut diterapkan dengen kerjasama Jabatan Tenaga Manusia, CIDB dan Kolej Komuniti," katanya.

Menjawab soalan Ismail mengenai keberkesanan program tersebut dalam mencapat matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan residivis, Abu Seman berkata: "Sejak dilaksanakan pada Mei 2011 sehingga 8 November, seramai 523 banduan telah dibebaskan dan didapati belum ada yang berulang masuk ke penjara."

Menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), beliau berkata Jabatan Penjara tidak mempunyai peruntukan untuk membantu bekas banduan memulakan perniagaan selepas dibebaskan.

"Pada dasarnya pihak penjara hanya sediakan kemahiran dan ilmu dalam penjara. Penjara tiada peruntukan untuk beri modal berniaga hasil kemahiran yang diperoleh.

"Bagaimanapun banyak dana lain yang boleh dipohon seperti Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga)," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain