suria

KPDNKK Gombak Rampas Kristal Jeli Bernilai RM76,000

KUALA LUMPUR: Sejumlah 255,000 paket kristal jeli bernilai RM76,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Gombak dari sebuah premis pengimport serta pemborong di Selayang Baru pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Selangor Othman Nawang berkata serbuan pada 9.25 pagi itu dilakukan enam pegawai selepas menerima aduan orang ramai berhubung penjualan barang larangan tersebut.

"Rampasan ini dilakukan selepas KPDNKK mengeluarkan perintah larangan pembekalan dan penjualan barangan ini 25 Ogos lepas. Seperti yang kita sedia maklum, kristal jeli merupakan barangan tidak selamat kepada kanak-kanak.

"Mereka yang masih menjual barangan ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna, yang boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sepaket kristal jeli dijual pada harga 30 sen, dan ketika rampasan dilakukan, terdapat seorang lelaki berusia 50-an, dipercayai penjual, berada di premis berkenaan.

Othman berkata KPDNKK melarang penjualan apa jua jenis produk yang sejenis dengannya.

"Kristal jeli, yang juga dikenali sebagai Seven Colour Crystal Ball, Jelly Ball, Baby Jelly, Baby Crystal dan Crystal Soil serta berwarna-warni, digunakan untuk membantu pertumbuhan pokok, atau sebagai hiasan dalam pasu," katanya.

Keputusan melarang penjualan kristal jeli dibuat selepas menerima aduan daripada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia berhubung beberapa kes pembedahan besar melibatkan kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun, dipercayai akibat tertelan bahan itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga agar tidak menjual barangan tersebut dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa. - BERNAMA

Artikel Lain