suria

Gerakan Sokong PPSMI Di Sekolah Menengah

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan mahu kerajaan mendengar permintaan rakyat berhubung isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejajar dengan semangat 'Rakyat Didahulukan', kata Timbalan Setiausaha Agungnya Liang Teck Meng.

Beliau berkata pendirian Gerakan dalam PPSMI ialah ia seharusnya dilaksanakan di sekolah menengah manakala Sains dan Matematik diajar menggunakan bahasa ibunda di peringkat rendah.

"Faktor pertimbangan untuk menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik bukan lagi tentang meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris, sebaliknya untuk menghubungkan pendidikan menengah dengan pendidikan tinggi," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, Khamis.

Sebagai contoh, Liang berkata beliau mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Cina di peringkat sekolah rendah manakala kedua-dua subjek berkenaan diajar dalam bahasa Inggeris semasa beliau berada di sekolah menengah.

"Sistem ini banyak membantu saya menguasai pelajaran ketika saya meneruskan pengajian peringkat tinggi di luar negara. Kami tidak menafikan bahawa ada banyak kaedah lain untuk meningkatkan bahasa Inggeris, bagaimanapun, kita perlu mengambil kira faktor persekitaran global sebagai pertimbangan," katanya.

Liang berkata tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris masih menjadi bahasa peneraju dalam Sains dan Matematik dengan sebahagian besar buku teks dan buku rujukan di universiti adalah dalam bahasa Inggeris.

"Lagi pun, jika Malaysia benar-benar serius untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu mara ke arah inovasi dan kreativiti yagn semestinyalah akan membabitkan penggunaan bahasa Inggeris sekiranya kita hendak menjalin kerjasama dengan negara lain dalam bidang penyelidikan dan pembangunan," kata Liang. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain