suria

Bapa Tunggal Didenda RM2,000 Kerana Miliki Nimetazapem

KUALA LUMPUR: Seorang bapa tunggal didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis kerana memiliki empat biji pil mengandungi 0.74gm Nimetazepam di sebuah bilik hotel di sini dua bulan lepas. Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas Ng Long Hau, 35, mengaku bersalah.

Ng, bapa lima anak berusia antara lima dan 12 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik 2207, Hotel Indigo, Pusat Niaga Metro Prima, Kepong, pada 5 petang 29 September, 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum menurut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan kepada mahkamah, peguam Khairul Amin Abdullah, yang mewakili Ng, memohon hukuman yang ringan memandangkan anak guamnya itu adalah pencari nafkah tunggal bagi keluarganya.

Beliau berkata Ng bekerja di sebuah ladang sawit dan terpaksa menjaga lima anaknya, tiga daripadanya masih bersekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R.Azmi. -BERNAMA

Artikel Lain