suria

Pengawal Keselamatan Dipenjara 14 Bulan Ugut Jurubahasa Mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengugut dua jurubahasa mahkamah, Khamis lepas.

Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan R. Muniandy, 33, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 27 Oktober lepas. Bagi pertuduhan pertama Muniandy didakwa mengugut Sabariah Abdul Malek, 35, dengan mengeluarkan kata-kata berbunyi "Saya bunuh awak, awak nak ambil saya punya fail ke tidak? Kalau anda tidak ambil, saya bunuh awak."

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Mahkamah Majistret Jenayah 10, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL), Jalan Duta dekat sini pada pukul 11 pagi, 27 Oktober 2011.

Bagi pertuduhan kedua, Muniandy didakwa mengugut Png Hui Cheng, 22, dengan berkata, "Saya nak bunuh, saya nak bakar mahkamah" pada 27 Oktober lepas di Mahkamah Majistret Jenayah 4, KMKL Jalan Duta dekat sini pada pukul 10.35 pagi, tarikh yang sama.

Untuk kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Terdahulu, Muniandy yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana dia hanya mempunyai pendapatan RM900 sebulan dan perlu menyara kedua-dua ibu bapanya yang sudah tua.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias. - BERNAMA

Artikel Lain