suria

Promosi Langkawi Sebagai Destinasi Golf

LANGKAWI: Penganjuran kejohanan golf bertaraf antarabangsa di Langkawi dapat mempromosikan pulau bebas cukai itu sebagai destinasi golf bertaraf dunia.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata dengan cara demikian dapat menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.

"Saya gembira dengan penyertaan mengalakkan pada Kedah International Red Tee Golf Invitation 2011, di mana seramai 68 pemain dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura menyertainya," katanya pada majlis penyampaian hadiah kejohanan itu yang disempurnakan oleh Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun di sini malam tadi.

Beliau turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012 berkenaan Pelan Induk Lim Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi yang melibatkan peruntukan RM420 juta.

Katanya kedatangan pelancong ke Malaysia telah meningkat dengan purata sembilan peratus setiap tahun, menjadikan Malaysia sebagai negara kesembilan paling dilawati di dunia pada tahun lepas.

Katanya pada tahuh lepas, seramai 24.6 juta pelancong tiba di Malaysia dan berbelanja sebanyak RM56.6 bilion berbanding 23.6 juta pelancong yang berbelanja sebanyak RM53.04 bilion pada 2009.

"Untuk bulan-bulan terakhir tahun ini, kita akan meraikan acara Fabulous Food 1Malaysia selama tiga bulan," kata Dr Ng.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada majlis berasingan di Pantai Cenang berkata kerajaan negeri berharap Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan melakukan lebih banyak kajian ke atas industri pelancongan negara terutama di Langkawi bagi memberi keseimbangan promosi bertujuan mengelakkan ketepuan atau ketandusan idea.

"Kajian ini amat penting terutama dari segi pemakanan dan keselamatan menarik lebih ramai pelancong untuk tinggal lama di pusat percutian negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain